Umat Islam pasti boleh

Monday, June 16, 2008

Tip Cemerlang

Bismillahirahmanirahim…
Untuk cemerlang kita perlu mengutamakan kualiti kerja dan tidak hanya bekerja. Hang Tuah pernah berkata, “Takkan Melayu hilang di dunia.” Kita perlu bertanya kepada Hang Tuah, “Melayu yang bagaimana yang takkan hilang di dunia? Adakah Melayu yang kaki lepak, kaki judi dan kaki dadah? Atau Melayu yang berkualiti?” Hang Tuah perlu diberitahu bahawa yang perlu diutamakan ialah kualiti. Terdapat 8 asas-asas kualiti (quality principles) yang Islam utarakan seperti yang disebutkan oleh Dr. Danial dalam 7 FORMULA INDIVIDU CEMERLANG.

1-AUTORITI TERTINGGI TENTANG KUALITI IALAH ALLAH.
Oleh kerana yang akan mengaudit dan menilai kualiti amalan manusia akhirnya ialah Allah, manusia perlu menghalusi segala produk yang mereka hasilkan kerana piawaian yang digunakan Allah amat tinggi sesuai dengan ketinggian dan kehalusan ilmu Allah. Allah berfirman dalam surah At-Taghabun ayat 18, “Dialah Yang Mengetahui yang ghaib dan yang zahir.” Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, nabi bersabda, “Sesungguhnya Allah itu suci bersih dan Allah tidak akan menerima kecuali yang suci bersih jua.”

2- KUALITI BERMULA DARI DALAM.
Asas kepada kualiti ialah kebersihan hati. Titik tolak kepada kebersihan hati ialah keikhlasan dan kejujuran kerana Allah. Manusia yang ikhlas lagi jujur tidak akan menipu, menerima rasuah, mengkhianati amanah, bersikap cuai dan sambil lewa dalam hidupnya. Dengan itu dia tidak hanya akan menghasilkan produk yang berkualiti malah lebih dari itu dia akan memastikan penghasilan yang seperti itu berlaku secara konsisten. Mengikut Imam Bukhari dan Muslim, nabi bersabda, “Sesungguhnya dalam diri anak Adam ada seketul daging jika baik daging itu akan baiklah seluruh jasad dan jika buruk daging itu akan buruklah seluruh jasad. Daging itu ialah hati.”

3- KUALITI PERLU MENGIKUT UKURAN BUKAN DAKWAAN
Dalam Islam, takwa mempunyai ukurannya. Antara ukurannya ialah melaksanakan solat fardu yang lima setiap hari, berpuasa sebulan penuh di musim Ramadan dan mengeluarkan zakat harta benda sebanyak 2.5 peratus setiap tahun. Jika seseorang mendakwa bahawa dia bertakwa sedangkan kewajipan yang khusus ini tidak dilakukannya, dia dianggap sebagai seorang pendusta yang fasik kerana takwa mempunyai ukuran dan kelayakannya. Di zaman nabi, seorang lelaki telah bertanya kepada baginda, “Apa pendapatmu jika aku melaksanakan solat yang fardu, berpuasa di bulan Ramadan, menghalalkan yang halal dan mengharamkan yang haram, adakah aku layak ke syurga?” Jawab nabi, “Ya.” Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Muslim. Justeru jika takwa mempunyai syarat dan ukurannya demikianlah juga dengan kualiti produk yang hendak dihasilkan. Ia perlu mengikut syarat dan ukuran.

4- BERKUALITI PADA SETIAP KETIKA BUKAN SEKALI SEKALA
Allah mengawasi manusia pada setiap detik dan ketika justeru umat Islam wajib menjaga kualiti iman dan amal mereka pada setiap masa. Mengikut Imam Tirmizi, nabi bersabda, “Bertakwa lah kamu kepada Allah di mana saja kamu berada.”

5- SETIAP ORANG ADALAH PEMIMPIN
Setiap individu adalah khalifah Allah di muka bumi justeru setiap individu bertanggungjawab untuk memelihara kualiti hidup di mana saja mereka berada. Dalam bahasa yang mudah, setiap individu adalah pemimpin. Jika setiap individu memelihara kualiti kerja di penjurunya, produk yang dihasilkan pasti berkualiti secara keseluruhannya. Nabi bersabda, “Kesemua kamu adalah penggembala dan kesemua kamu akan dipertanggungjawabkan tentang penggembalaannya.”

6- MENILAI SEBELUM DINILAI
Umat Islam perlu sentiasa berhati-hati dan berwaspada dengan tindak tanduk mereka dalam setiap keadaan. Penilaian ke atas diri perlu dibuat secara terus menerus berpandukan piawaian yang telah Allah tetapkan. Langkah-langkah pencegahan perlu dikenal pasti sejak dari awal lagi agar masalah tidak timbul di kemudian hari kelak. Jika metodologi kerja seperti ini dihayati pada setiap ketika, kerosakan dan kerugian akan dapat dikawal ke tahap minimum. Khalifah Omar Al-Khattab berkata, “Hitunglah dirimu sebelum kamu dihitung.”

7- BERKUALITI SECARA HOLISTIK BUKAN HANYA DI BEBERAPA SUDUT
Islam merupakan satu agama yang lengkap justeru nilai-nilai kualiti perlu diaplikasikan secara yang komprehensif. Sebagai kiasan, sebuah kereta tidak boleh dianggap berkualiti jika sebahagiannya baik dan sebahagian yang lainnya rosak. Demikian juga dalam konteks penghasilan produk, jika produk yang dihasilkan adalah baik tetapi proses yang digunakan telah menyebabkan pencemaran yang memudaratkan, ia tidak boleh dianggap sebagai suatu yang berkualiti. Nabi bersabda, “Allah menuntut agar ihsan (keelokan) wujud dalam setiap perkara.”

8- PENGABAIAN MEMELIHARA KUALITI MERUGIKAN DUNIA DAN AKHIRAT
Mereka yang gagal mematuhi landasan kualiti yang Allah tetapkan perlu menghitung kerugian yang bakal di tanggung nya di dunia dan akhirat. Di dunia dia akan mengalami kehidupan yang sempit dan di akhirat dia akan mendapat azab yang amat pedih. Dalam surah Taha ayat 124 Allah berfirman, “Sesiapa yang berpaling dari peringatan ku sesungguhnya baginya penghidupan yang sempit dan Kami akan menghimpunkan nya pada hari kiamat dalam keadaan buta.” Kerugian di dunia dalam konteks sesebuah syarikat ialah hutang yang meningkat, defisit akaun dan bankrap. Kerugian di akhirat adalah lebih dahsyat lagi.

No comments:

Akhlak Perhiasan diri


MyCartopia.com Click here to get one